|
Pendingin Hawa Teknologi Nano |
|
Oleh Mohammad Yasir Jaafar
|
|
MENERUSI ciptaan inovasi, Hitachi Sales Malaysia (M) Sdn. Bhd. (Hitachi) telah berjaya menghasilkan rangkaian pendingin hawa terbarunya, DC pam inverter yang mampu menjimatkan tenaga secara efisien.Selain mampu menjimatkan tenaga elektrik sehingga 50 peratus, keseluruhan rangkaian DC pam inverter itu dikatakan berupaya mempercepatkan proses penyejukan 24 peratus lebih pantas.
Dalam pada itu, rangkaian itu turut memperlihatkan penerapan ciri-ciri berteknologi terkini yang direka khas bagi memenuhi gaya hidup pengguna masa kini serta menuras udara menerusi teknologi nano.
Menurut Pengarah Urusan Hitachi, Hidenori Zen, rangkaian pendingin yang membariskan model berkuasa 1.5 kuasa kuda (hp) hingga ke 2 hp ini dipercayai mampu menjimatkan kos penggunaan tenaga selain menghasilkan udara yang nyaman lagi bersih dari ancaman bakteria.
''Dengan kehadiran rangkaian model sebegini, kami bukan sahaja mampu menjimatkan wang pengguna malah turut meningkatkan kualiti hidup mereka pada masa yang sama,'' katanya.
Bagaimana sistem DC pam inverter mampu menjimatkan tenaga?
Model tersebut menyelaraskan sistemnya dengan mengawal kelajuan motor kompresor mengikut suhu yang ditetapkan.
Dalam erti kata lain, sebaik sahaja pendingin mula digunakan, motor kompresor yang dipacu menggunakan dwi silinder putaran itu akan berpusing pada kelajuan maksimum.
Proses tersebut akan memperlihatkan kesan penyejukan yang pantas bagi mencapai suhu yang ditetapkan pengguna 24 peratus lebih cepat berbanding alat pendingin hawa yang sedia ada.
Ini bermakna, sebaik sahaja suhu bilik sudah mencapai pada tahap yang diingini, kelajuan motor kompresor akan meningkat serta menurun agar tahap suhu yang ditetapkan dapat dikekalkan secara konsisten.
Sistem ini bukan sahaja menawarkan prestasi unggul malah menjimatkan tenaga kerana pada kebiasaannya motor kompresor tersebut hanya akan beroperasi secara optimum pada peringkat awal sahaja.
Selain itu, menerusi pengunaan teknologi dwi-silinder itu, ia dikatakan mampu mengurangkan getaran pada motor kompresor sekali gus menjadikan sistem DC pam inverter beroperasi secara senyap .
Sementara itu, seluruh rangkaian pendingin inovatif itu turut didatangkan dengan penuras berteknologi nano titanium yang berfungsi sebagai agen anti bakteria paling efektif dalam membersihkan udara.
Sistem penuras yang melalui proses penambahbaikan itu memperlihatkan penapisnya dibina berteraskan keluli besi tahan karat.
Penggunaan penapis tersebut akan memudahkan pengguna membersihkan habuk dengan mudah dan pantas berbanding penapis konvensional yang perlu dibasuh menggunakan air untuk dibersihkan keseluruhannya.
Dalam pada itu, rangkaian DC pam inverter itu juga hadir dengan beberapa ciri tambahan seperti ayunan automatik pelbagai arah yang membolehkan pendingin menalakan udara bukan sahaja ke bahagian atas dan bawah malah mampu digerakkan ke kiri dan ke kanan.
Pengguna pasti akan menyukai ciri ini kerana udara dingin dapat disalurkan ke jarak permukaan yang lebih luas dan optimum kepada ruang bilik. Melalui ciri ini juga, udara dingin mampu dihasilkan mencapai jarak berskala 11 meter.
Lebih menarik, bahagian panel badan yang leper dan mudah untuk ditanggalkan itu secara tidak langsung membenarkan pengguna untuk membersihkan pendingin dengan mudah dan kekal bersih. Petikan dari Utusan Online |